18 Mac 2018

Suka vs Tak Suka di Kenduri Kahwin

Assalamualaikum dan salam sejahtera



Cuti sekolah baru sahaja bermula, kebiasaannya kenduri kahwin akan diadakan pada musim cuti persekolahan. Macam aku sendiri, hari ahad ini aku mempunyai undangan untuk datang empat majlis perkahwinan. In shaa Allah , selagi ada kudrat dan ruang untuk diisi di dalam perut, aku akan datang bersama keluarga.

Apa yang aku nak ceritakan adalah perkara yang aku suka dan aku tak suka ketika majlis perkahwinan berlaku. Tidak semua majlis perkahwinan mempunyai apa yang akan aku tulis ini , tetapi kebiasaannya di kawasan kejiranan rumah aku dan juga kebiasaan kenduri kahwin yang aku pergi.


Tak Suka

1. Makanan dicatu

Aku paling tak suka bila mana kenduri tu ada orang yang tolong letakkan makanan tu ke dalam pinggan kita. Maksudnya, ada orang jaga lauk pauk. Mungkin salah satu sebabnya tak nak orang ambil lebih lauk yang disediakan. Tapi, entahlah , aku masih lagi tak suka walaupun tahu pasal sebab itu. Aku lagi suka macam kenduri yang makan hidang. Maksudnya, makanan di hidangkan di setiap meja, mengikut jumlah yang sama bagi setiap meja.

2. Tetamu duduk lama walau dah habis makan

Yang ni juga merupakan satu masalah besar. Ada tetamu yang sedang bersembang , bertepuk tampar dan hisap rokok dan sebagainya sedangkan di atas meja mereka yang tinggal adalah pinggan yang sudah digunakan. Ada pula, tetamu yang sedang mengunyah kerepek dan jajan, sambil bersembang sedangkan ada lagi ribuan tetamu lain sednag berdiri sambil memegang pinggan yang penuh dengan lauk pauk mencari tempat duduk.

3. Karaoke

Ini adalah satu penghinaan. Ya! Melainkan kalau yang sedang karaoke itu adalah Siti Nurhaliza, itu dimaafkan, tetai kalau yang sedang karaoke itu adalah pakcik tua, yang menanti masa pulang ke Yang Maha Esa, baiklah diberhentikan sahaja. Bagi aku , karaoke ketika majlis perkahwinan adalah tidak perlu. Selain pembaziran yang nyata,ia juga menyebabkan pencemaran bunyi bagi tiap telinga yang ada di majlis itu.

4. Parking Kereta

Penyediaan tempat meletak kereta juga perlu dititik beratkan. Pernah, berjalan hampir 500 meter untuk ke majlis itu setelah meletak kenderaan , kerana majlis itu terletak di kawasan pedalaman. Mungkin tuan majlis dapat memikirkn cara yang lebih efisyen contohnya, majlis dibuat di padang sekolah atau di kawasan masjid yang semestinya lebih lapang dan luas.

5. Bawang

Yang tidak dapat dielak. Keluarga bawang. Setiap majlis pasti ada keluarga bawang yang akan sentiasa bergosip mengenai perkara yang tiada kena mengena dengan kehidupan mereka. Contohnya mereka bergosip tentang kehidupan artis terkenal di negara Zimbabwe yang didapati berkahwin dengan isteri orang.

Suka

1. Jumpa rakan lama

Aku mengaku bahawa di majlis perkahwinan lah berlakukanya perjumpaan semula dengan rakan lama , bekas kekasih dan sebagainya. Di sinilah kita dapat bertegur sapa setelah lebih 1 dekad tidak berjumpa. Di sini jugalah mungkin jodoh yang tidak kesampaian akan bertaut semula walaupun si dia sudah berpunya?

2. Rezeki untuk perut

Kebiasaannya, contohnya jika hari esok ada kenduri kahwin , bermakna hari itu tidak perlu keluarkan duit untuk membeli makanan. Ya, suatu penjimatan yang sangat baik disitu. Lebih baik apabila tuan rumah dengan budi pekerti mulianya memberikan juadah kenduri itu untuk dibawa pulang , maka makanan untuk malam telah sedia. Selesai satu hari punya makanan, tidak perlu keluar duit, perut penuh dan kenyang.

3. Juadah pelbagai

Yang paling aku suka adalah bila majlis kenduri itu mempunyai pelbagai kaunter. Maksudnya di sini, kenduri itu ada beberapa bahagian makanan, satu untuk makanan nasi dan lauk, seterusnya bahagian ais kacang, bahagian cendol, bahagian sate, bahagian kuih muih ,  bahagian chichken chop dan lain-lain. Pilihan makanan yang pelbagai membuatkan aku lebih gembira , tetapi aku juga suka kalau majlis itu sederhana sahaja.


4. Meriah

Majlis yang meriah tetapi sederhana adalah yang lebih baik. Maksud aku di sini adalah majlis yang tidak terlampau terlebih-lebh dari segi makanan atau hiburannya tetapi penuh dengan gelak tawa dan senyum tetamu yang hadir. Wajah-wajah mereka yang puas dengan makanan yang disediakan dan juga wajah tuan rumah yang gembira. Itu sahaj sudah cukup memadai.

...............................................................

Sekian

2 ulasan:

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.