14 Mei 2018

Fungsi Parlimen dan Fakta Parlimen Malaysia

Assalamualaikum dan salam sejahtera


Masih lagi di dalam suasana hangat Pilihan Raya Umum ke 14, mari kita lihat fungsi dan juga beberapa fakta pengenai Parlimen Malaysia. Sebagai rakyat, kita perlu tahu bagaimana Parlimen berfungsi dan juga mengenai  apa itu dewan rakyat dan juga dewan negara.


Fungsi Parlimen

Parlimen adalah badan perundangan bagi kerajaan persekutuan dan ia membuat undang-undang yang boleh dikuatkuasakan di seluruh negara.

Parlimen meluluskan undang-undang persekutuan, membuat pindaan kepada undang-undang persekutuan yang ada, memeriksa dasar-dasar kerajaan, meluluskan perbelanjaan kerajaan dan meluluskan hasil-hasil cukai yang baru.

Parlimen juga menjadi forum untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan kepentingan orang ramai. Bagi membolehkan Parlimen menjalankan tanggungjawab dengan sepenuhnya dan dengan lebih berkesan, Perlembagaan telah memperuntukkan beberapa hak dan pengecualian yang dipanggil "Keistimewaan Ahli-ahli Parlimen" kepada ahli Parlimen.

Setiap Dewan mempunyai kuasa untuk mengawal selia tatacaranya sendiri, mempunyai kuasa mutlak atas prosiding masing-masing yang mana kuasa-kuasa ini tidak boleh dicabar di dalam mana-mana mahkamah; dan setiap Dewan boleh mengenakan hukuman ke atas pelanggaran hak keistimewaan atau menghina (contempt) di dalam Dewan tersebut.

Secara amnya, ahli Dewan menikmati imuniti daripada prosiding sivil dan jenayah terhadap perkara yang dibahaskan dan yang dibuat di dalam sesi Parlimen.

...........................................................................



Bilangan Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara

Bilangan Ahli Dewan Negara adalah tertakluk kepada Fasal (1) Perkara 45, Perlembagaan Persekutuan iaitu tidak melebihi daripada 70 orang ahli pada satu-satu masa, dengan kadarnya seperti berikut:
  • dua orang ahli bagi setiap negeri yang dipilih mengikut Jadual Ketujuh;
  • dua orang ahli bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, seorang ahli bagi Wilayah Persekutuan Labuan, seorang ahli bagi Wilayah Persekutuan Putrajaya;
  • empat puluh orang ahli yang dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Tempoh jawatan seseorang Senator (Ahli Dewan Negara) ialah tiga tahun dan boleh dilanjutkan kepada dua penggal yang mana Dewan Negara tidak terjejas dengan pembubaran Parlimen.
   
Bilangan Ahli Dewan Rakyat adalah tertakluk kepada Fasal (1) Perkara 46, Perlembagaan Persekutuan iaitu seramai 222 orang yang dipilih melalui sistem pilihan raya.


............................................................
Persidangan Parlimen Pertama

Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Parlimen Pertama telah diadakan pada 11 September 1959 di Dewan Tunku Abdul Rahman, Jalan Ampang yang kini dikenali sebagai Pusat Pelancongan Malaysia atau MaTiC

Bangunan Parlimen Dirasmikan

Bangunan Parlimen telah dirasmikan pada 2 November 1963.

Sumber :www.parlimen.gov.my

Sekian

4 ulasan:

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.