PRU 12 : 2008 : Gelombang Parti PKR, DAP dan PAS



Assalamualaikum dan salam sejahtera




Pilihan Raya Umum Malaysia 2008 merupakan pilihan raya umum yang ke-12 diadakan di Malaysia pada hari Sabtu, 8 Mac 2008 setelah parlimen Malaysia dibubarkan pada 13 Februari 2008 diikuti dengan hari penamaan calon pada 24 Februari 2008. Akhirnya, Barisan Nasional masih menang di peringkat Parlimen tetapi di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) , Barisan Nasional tewas di Kelantan, Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor. Banyak calon UMNO tewas kepada PAS. Sementara calon Gerakan , MIC dan PPP kalah teruk kepada DAP, PKR dan PAS. Gelombang baru ini merupakan permulaan kepada rentetan fenomena politik di Asia seperti di Filipina, Thailand dan Indonesia.

Keputusan Pilihan Raya




Parti Keadilan Rakyat yang bermula dari 1 kerusi di Permatang Pauh, kini melonjak kepada 31 kerusi parlimen. DAP yang hanya mempunyai 12 kerusi pada tahun 2004 kini menanjak kepada 28 kerusi Parlimen. Begitu juga dengan PAS yang hanya ada 7 kerusi kini mempunyai 23 kerusi Parlimen. Semua pencapaian ini tidak pernah berlaku dalam sejarah Pilihan raya Malaysia sejak 1954 lagi. Hanya Pilihan raya Umum Malaysia 1969 sahaja yang hampir menyamai pencapaian pembangkang tetapi kali ini jauh lebih besar.

Yang mengejutkannya pada kali ini ialah, Ketua Menteri, Menteri, Timbalan Menteri, Setiusaha Parlimen dari Barisan Nasional tumbang akibat aliran pengundi muda yang mengajar Barisan Nasional yang dikatakan enggan mendengar desakan mereka. Antara tokoh terpenting Barisan Nasional yang tumbang ialah Samy Vellu, Koh Tsu Koon, M. Kayveas, Aziz Shamsuddin, Tan Chai Ho, Shahrizat Abdu Jalil, dan lain-lain.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang mempunyai 10 kerusi Parlimen hampir kesemuanya dimenangi oleh pihak pembangkang, manakala Barisan Nasional hanya mendapat 1 kerusi iaitu Setiawangsa. DAP berjaya memenangi kerusi Kepong, Segambut, Bukit Bintang, Seputeh, dan Cheras. PKR berjaya merampas kerusi Batu, Wangsa Maju, Lembah Pantai, dan Bandar Tun Razak. PAS tidak ketinggalan "berpesta" apabila memenangi kerusi Titiwangsa. Semenjak Kuala Lumpur dikeluarkan dari negeri Selangor dan menjadi Wilayah Persekutuan, tidak mempunyai kerusi Dewan Undangan Negeri. Kuala Lumpur ditadbir oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, dan diuruskan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan.

Pembangkang juga berjaya mendapat durian runtuh dengan merampas kuasa pentadbiran negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak, dan Selangor, selain daripada berjaya mempertahankan negeri Kelantan. Tun Daim Zainuddin pernah menyatakan Perlis, Kedah, Pulau Pinang, dan Perak akan berdepan dengan masalah dan ternyata risikan beliau tepat sekali. Selangor bukanlah begitu bermasalah kecuali selepas isu yang dimainkan oleh Hindraf.



Kekalahan Teruk Barisan Nasional

Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-12 telah dinafikan majoriti 2/3 dan hanya boleh membentuk kerajaan pusat dengan majoriti asas (iaitu lebih daripada 1/2 jumlah kerusi, tetapi kurang daripada 2/3 jumlah kerusi). Bagi Dewan Undangan Negeri pula, Barisan Nasional gagal mempertahankan kerajaannya di negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor serta gagal mencapai hasratnya untuk membentuk kerajaan di negeri Kelantan. Pilihan raya kali ini juga melihatkan kegagalan banyak ahli politik veteran mempertahankan kerusi mereka, antaranya termasuk Koh Tsu Koon, Samy Vellu, Shahrizat Abdul Jalil, M. Kayveas, Zainuddin Maidin . Manakala kemenangan kerusi Parlimen Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi tidak begitu membanggakan apabila undi majoritinya berkurangan banyak berbanding dengan Pilihanraya Umum tahun 2004. Harus diperhatikan bahawa Barisan Nasional hanya berjaya meraih kemenangan besar di Sabah, Sarawak dan Johor atas sebab rakyat di negeri terbabit masih percaya dan yakin dengan kemampuan Barisan Nasional. Rekod kekalahan Barisan Nasional kali ini adalah yang paling buruk diikuti Pilihan Raya 1969 dan 1999.

Empat negeri berubah angin

Barisan Nasional gagal mempertahankan kerajaannya di negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor setelah selama ini diperintah oleh kerajaan di bawah Barisan Nasional. Angin perubahan ini jelas kelihatan apabila diumumkan bahawa parti-parti pembangkang seperti DAP, PKR dan PAS bersama-sama memperoleh undian yang banyak lantas bakal menguasai negeri-negeri itu dengan majoriti yang menunjukkan bahawa angin perubahan telah melanda pihak pengundi. Bagaimanapun, secara teknikal parti-parti terlibat tidak memenangi negeri berkenaan kerana, menurut SPR, gagal memperoleh majoriti mudah. Maka, perikatan atau gabungan parti diperlukan untuk membolehkan kerajaan campuran diwujudkan.

Selepas Pilihan Raya Umum

Tuduh-menuduh dalam Barisan Nasional

Parti-parti komponen Barisan Nasional seperti MCA dan Gerakan telah mendakwa bahawa antara sebab kekalahan besar mereka berpunca daripada UMNO. Antara isu-isu yang dibangkitkan termasuk tindakan Hishamuddin Tun Hussein yang gemar melambaikan keris dalam Perhimpunan Agung UMNO dua tahun kebelakangan ini serta Istana Zakaria.

Mahathir Mohammad dan anak bongsunya Mukhriz Mahathir mendakwa bahawa Perdana Menteri Malaysia Abdullah Ahmad Badawi bertanggungjawab penuh terhadap kegagalan Barisan Nasional dalam PRU kali ini kerana kelemahan dan "kelembikan" pimpinannya.

Abdullah Ahmad Badawi pula tidak berpendapat bahawa kelembikannya menyebabkan tumbangnya BN, malah menuduh Mahathir yang kuat mengkritik kerajaan Barisan Nasional sejak beliau bersara dan tindakan ahli-ahli UMNO yang mensabotaj 22 DUN dan 14 Parlimen  yang menyumbang kepada kekalahan Barisan Nasional.

Pembentukan Pakatan Rakyat

Berikutan kejayaan dalam mengambil alih kuasa pemerintahan dalam 4+1 negeri, ketiga-tiga parti melibatkan DAP, Keadilan, dan PAS telah bersetuju membentuk satu pakatan yang dikenali Pakatan Rakyat bagi menguatkan kerjasama sesama mereka.

Sekian

0 Comments

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


Post a Comment

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


Post a Comment (0)

Previous Post Next Post