6 Mei 2018

PRU 2 : 1964 : Konfrontasi Negara Jiran

Assalamualaikum dan salam sejahtera




Pilihan Raya Umum Malaysia 1964 merupakan pilihan raya umum yang pertama selepas penubuhan Malaysia pada 16 September 1963, serta pilihan raya umum yang kedua selepas kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Ia telah diadakan pada hari Sabtu, 24 April 1964 itu 2 hari selepas Hari Raya Haji. Bagaimanapun, Sabah dan Sarawak tidak menyertai pilihan raya umum ini dan oleh itu, bilangan kerusi dalam Dewan Rakyat dikekalkan pada bilangan 104.

Parti-parti yang bertanding dalam pilihanraya kedua ini ialah Perikatan, Sosialis Front, PAS, Parti Demokratik Bersatu (UDP), NEGARA, PPR, PETIR.

Pilihan raya kali ini berjalan ketika negara Malaysia berhadapan ketegangan Konfrontasi daripada negara jiran terutama Indonesia. Konfrantasi dan cita-cita Sukarno yang hendak menjajah Malaysia telah dikemukakan sebagai soal terbesar yang perlu diputuskan dalam pilihan raya ini.



Hebahan keputusan pilihan raya

Radio Malaysia di Kuala Lumpur dan Singapura bertugas untuk menyiarkan keputusan-keputusan pilihanraya mulai jam 12 tengah malam, 25 April 1964. Siaran tersebut diteruskan sehingga pukul tiga atau empat pagi sehingga sesebuah parti mendapat suara majoriti. Perkara tersebut dinyatakan oleh Pengarah Jabatan Radio, Encik Dol Ramli. Keputusan Pilihanraya ini akan disiarkan dalam Bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil melalui saluran siaran masing-masing. Siaran ini dipancarkan melalui stesen radio di Kota Bharu, Kuala Terengganu, Kuantan, Pulau Pinang, Ipoh, Melaka, Johor Bharu, Kuala Lumpur dan Singapura.

Hari pengundian

Rakyat telah keluar membuang undi mulai pukul 8 pagi hingga pukul 8 malam. Seramai 276 orang calon bertanding merebut 102 kerusi Parlimen, manakala sejumlah 765 orang calon lagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri.

Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putra bersama isteri Puan Sharifah Rodziah mengundi di sekolah Cina Kampung Perak, Alor Setar, Kedah. Tunku memakai baju hawai, iaitu baju yang sama dipakai oleh Tunku sewaktu mengundi dalam pilihanraya umum tahun 1959. Kemeja hawai yang digelar beliau ‘kemeja bertuah' itu menunjukkan gambar kapal layar iaitu logo Perikatan.[1]

Keputusan

Dalam pilihan raya umum ini, Parti Perikatan memenangi 89 kerusi dalam Dewan Rakyat. Ini merupakan satu majoriti sebanyak 85.6% dalam Dewan Rakyat, walaupun parti campuran ini hanya memperoleh 58.5% daripada jumlah undi. Bagaimanapun, prestasi ini merupakan satu perbaikan yang amat besar, iaitu satu kenaikan sebanyak 20.3% dalam bilangan kerusi berbanding pilihan raya umum yang dahulu. Pencapaian 85.6% ini juga adalah jauh melebihi majoriti dua pertiga yang diperlukan oleh Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu untuk membentuk kerajaan.

Seramai enam orang calon wanita telah bertanding merebut kerusi Parlimen. Daripada jumlah tersebut, hanya dua orang calon sahaja yang berjaya iaitu Datin Hajah Fatimah Hashim dan Datin Fatimah Haji A. Majid, kedua-duanya merupakan calon Parti Perikatan. Datin Hajah Fatimah Hashim bertanding yang bertanding di kawasan Jitra-Padang Terap mendapat 15,835 undi mengalahkan Lebai Isa Haji Mohd Mohd dari PAS dengan kelebihan sebanyak 9,730 undi. Manakala Datin Fatimah Haji A. Majid yang bertanding bagi kawasan Johor Bahru Timur memperolehi 12,606 undi mengalahkan lawannya Puan Tan Ag Ngoh dari Parti Sosialis Front yang mendapat 5,343 undi dan Encik Mohd Noor bin Jetty dari parti PETIR yang hanya mendapat undi sebanyak 733.

Walaupun parti-parti pembangkang pada keseluruhannya memperoleh 41.5% daripada jumlah undi, mereka hanya memenangi 15 kerusi yang tinggal, berbanding 30 kerusi yang dimenangi dalam pilihan raya umum yang dahulu. Dengan kata yang lain, kekuatan mereka dalam Dewan Rakyat dikurangkan menjadi hanya separuh.



Sumber : Wikipedia

Sekian

2 ulasan:

  1. Sedikit sebanyak sejarah lalu membuatkan rakyat semakin matang

    BalasPadam

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.