Diganggu Selepas Nyanyi Lagu Ulek Mayang



Assalamualaikum dan salam sejahtera



Kisah ini berlaku lama dah, pada zaman aku mula belajar bermain gitar. Kejadian seram itu berlaku pada satu malam Jumaat, seingat aku lagi dua minggu sebelum masuk bulan puasa. Aku dan kawan-kawan aku macam biasa melepak sambil bermain gitar di sebuah pondok tepi sawah. Kami menyalakan unggun api dan bakar ubi kayu dan ubi keledek untuk dimakan. Sedang asyik kami bermain gitar sambil bernyanyi dan makan ubi serta keledek bakar, salah seorang daripada kawan aku meminta supaya kami mendendangkan lagu ulek mayang. 

Tanpa sebarang bantahan atau rasa curiga, kami pun mula mencari rentak dan ‘cord’ lagu tersebut. Bila dah dapat, kami pun mulakan dengan memetik gitar dan diiringi ‘bass’. Akulah yang jadi penyanyinya masa tu. Aku pun mula menyanyi, “Ulek mayang di ulek, ulek dengan putrinya satu. Putri satu berbaju songket, putri satu bersubang gading,”. Semasa menyanyi rangkap putri satu, angin mula bertiup sepoi-sepoi bahasa. Tapi aku buat tidak tahu saja sebab aku fikir mungkin nak hujan nak turun. 


Selepas itu aku teruskan menyanyi sampai habis rangkap putri dua. Masa ni terasa angin semakin kencang. Ada antara kawan aku yang joget anguk-angguk kepala sambil menggoyangkan tangan. Maklumlah tengah layan lagu seram, malam-malam buta pula tu. Aku pula terus menyanyi. Apabila habis rangkap putri tiga dan masuk saja ke rangkap lagu putri empat, hujan mula turun renyai-renyai. Aku sudah mula rasa pelik tapi kawan aku tengah asyik bermain gitar. Ketika lagu ulek mayang yang aku nyanyikan masuk ke rangkap putri lima, unggun api kami tiba-tiba terpadam berserta dengan angin kencang dan hujan yang renyai. 

Daun-daun dan jerami padi mula bertaburan. Aku terus diam tak nak menyanyi lagi. Kawan aku pun turut berenti dari bermain gitar. Kemudian kawan aku yang duduk di bahagian belakang pondok tiba-tiba menjerit, “Apa benda itu??” sambil tangannya menunjuk ke arah sawah padi. Kami semua tengok ke arah yang ditunjuknya dan dalam samar-samar kegelapan malam itu kami nampak ada ‘sesuatu’ berpakaian putih yang semakin lama semakin dekat dengan pondok yang kami duduk. Dalam keadaan panik itu, kami melihat arah tepi pondok juga ada makhluk itu. Dari arah kanan pun sama, ada juga. Masa itu, kami ingat nak lari ikut belakang tapi baru saja nak buka langkah seribu, tengok-tengok arah belakang pun ada makhluk itu. Ada 5 makhluk semuanya yang tengah mengepung kami.

Kami baca mana-mana ayat yang kami ingat dan tidak putus berdoa meminta perlindungan dari Allah SWT. Dalam keadaan yang seram lagi sejuk itu terdengar suara wanita menyanyi lagu ulek mayang dengan sayu. Suaranya kedengaran tenggelam timbul antara kuat dan perlahan. Kemudian terdengar kawan aku cakap, “Ada putri cantik la”. Seolah-olah terpukau, dia pun nak melangkah turun dari pondok tetapi aku dan kawan-kawan yang lain halang dia. 


Kawan yang nampak putri cantik itu melawan nak turun tapi kami tak bagi kerana apa yang saya dan yang lain nampak bukanlah putri cantik tapi kami nampak makhluk yang menakutkan macam pontianak dengan muka yang penuh darah, nanah dan berkudis. Bukan itu sahaja, malah makhluk menyerupai pontianak itu turut mempunyai gigi taring. Tambah mengerikan, mata makhluk itu kelihatan terjegil dan rambut yang kusut mengerbang. 

Kawan aku itu meronta-ronta nak turun. Dia beritahu kami bahawa, putri itu panggil dia. Apa yang kami yang lain dengar hanyalah suara tangisan berserta nyanyian ulek mayang. Tiba-tiba makhluk-makhluk itu nampak resah, mereka meraung-raung dengan bunyi tangisan yang semakin kuat. Kami dapat dengar makhluk itu berkata, “Aku tak nak balik” berulang-ulang kali sampailah ianya hilang dengan sendiri dan keadaan mula menjadi reda. Kemudian, kami terdengar suara yang tiba-tiba menegur, “Kamu semua tak apa-apa?”. Alangkah terperanjatnya kami waktu itu kerana suara yang menegur kami itu bunyinya garau semacam. 

Rupa-rupanya pak imam dengan tok dalang yang datang. Kami bernasib baik kerana tok dalang datang bersama pak imam untuk tengok kebun durian beliau kat tepi sawah berdekatan dengan pondok yang kami lepak itu. Kalau tidak, kami tidak tahulah apa yang akan jadi pada kami semua. Saya bertanya pada tok dalang apa benda yang tadi itu? Tok dalang hanya menjawab bahawa itu makhluk Allah juga. Selepas itu kami pun balik rumah masing-masing. Hanya kawan aku yang kata dia nampak putri itu saja malam itu terpaksa tidur di rumah pak imam untuk berubat. Bimbang kalau-kalau ada benda lain pula yang tak kena.

Sejak kejadian itu, kami semua sudah serik dan tidak akan menyanyi lagi lagu puaka ulek mayang sebab lirik lagu itu sebenarnya memuja dan memanggil makhluk tersebut. Apa pun, kejadian malam itu memang ngeri!


Sumber : duniaseram.blogspot.my.

6 Comments

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


  1. Selalu baca kisah seram berkaitan dengan lagu ni.. Scary jugak wehh

    ReplyDelete
  2. abam kie x berani la buat mcm ni. kang x pasal2 kena rasuk. BTW, abam kie dah letak link aerill d bloglist. Check it out now! :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. haha... okay2.. saya dh mmg lama letak blog abam kie dlm bloglist..

      Delete
  3. Lagu nie memang 'berhantu', kalu diikutkan liriknya agak panjang tapi terpaksa dipotong bait-bait lirik kerana mengandungi unsur-unsur pemujaan, sebab ianya memang untuk dipuja semangat laut kata orang-orang lama...sebab tue la lagu ini selalu dimainkan di tepi laut satu ketika dulu..

    ReplyDelete

Post a Comment

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


Post a Comment

Previous Post Next Post