Badminton : Goh Liu Ying Sah Boleh Beraksi di Sukan Asia



Assalamualaikum dan salam sejahtera


KUALA LUMPUR: Skuad badminton negara menerima perkhabaran gembira menjelang Sukan Asia Indonesia 2018 apabila kecederaan dialami pemain beregu campuran, Goh Liu Ying disahkan tidak serius dan boleh beraksi pada temasya yang berlangsung bermula 19 hingga 28 Ogos itu.

Ketua jurulatih beregu campuran, Pang Cheh Chang yang mengesahkan perkara itu berkata, dia sudah menerima laporan ujian imbasan Magnetic Resonance Imaging (MRI) daripada Institut Sukan Negara (ISN) yang memaklumkan kecederaan Achilles kaki kiri dialami pemain berkenaan tidak serius.

"Saya sudah mendapat laporan MRI daripada ISN pagi ini dan dalam laporan itu mengatakan ia bukan kecederaan serius. Saya juga sudah maklumkan kepada pengurusan BAM (Persatuan Badminton Malaysia) mengenai perkara ini.

"Cuma, Liu Ying masih tetap perlu menjalani proses pemulihan dan sebab itu kami akan perlahankan sedikit sesi latihannya sepanjang minggu ini untuk dia benar-benar pulih. Ini bukan masalah yang besar sehingga dia perlu menarik diri daripada Sukan Asia," kata Cheh Chang ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara, hari ini.

Goh Liu Ying/Chan Peng Soon meraih pingat Perak di Sukan Olimpik 2016


Penyertaan Liu Ying ke temasya terbesar Asia itu sebelum ini mencetus tanda-tanya selepas mengalami kecederaan berkenaan ketika dia dan pasangannya, Chan Peng Soon beraksi menentang beregu campuran Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet dalam aksi suku akhir Kejohanan Dunia di Nanjing, China, Jumaat lalu.

Sementara itu, Liu Ying jelas lega dengan perkhabaran itu, namun menegaskan dia perlu lebih berhati-hati agar tidak di belenggu dengan masalah kecederaan lagi sekali gus menjejaskan peluang untuk sekurang-kurangnya meraih pingat pada Sukan Asia nanti.

"Dalam tempoh seminggu ini saya perlu menyesuaikan diri dengan proses pemulihan dan dalam masa tetap meneruskan latihan. Saya fikir, dalam tempoh dua minggu lagi saya boleh bersedia sepenuhnya untuk bermain pada Sukan Asia.

"Cuma, saya perlu lebih berhati-hati agar tidak mendapat kecederaan lagi," kata Liu Ying yang sedar dia dan Peng Soon diletakkan sandaran bagi menghadiahkan pingat buat kontinjen Malaysia di Jakarta nanti.

Sumber: Berita Harian

0 Comments

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


Post a Comment

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


Post a Comment (0)

Previous Post Next Post